KDNK Terengganu 2023 Naik ke RM38.2 Bilion


 KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu bagi 2023 naik 2.3 peratus ke RM38.2 bilion berbanding RM37.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada aspek komposisi ekonomi di Terengganu, sektor perkhidmatan mendominasi.

Katanya, sektor itu menyumbang 52 peratus daripada aktiviti ekonomi negeri tersebut.

"Sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar dengan 36.9 peratus, diikuti sektor Pertanian 7.5 peratus.

"Seterusnya, sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 3.0 peratus dan 0.5 peratus kepada keseluruhan komposisi ekonomi Terengganu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, daripada segi prestasi ekonomi sektoral, sektor perkhidmatan berkembang 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, mencatatkan peningkatan nilai ditambah kepada RM19.9 bilion.

"Pertumbuhan sektor ini terutamanya didorong pertumbuhan dalam subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan ICT yang berkembang 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Sementara itu, subsektor perkhidmatan kerajaan pula meningkat 3.8 peratus. Sektor pembuatan berkembang marginal 0.2 peratus tahun ke tahun untuk mencatatkan nilai ditambah RM14.1 bilion pada tahun 2023.

"Pertumbuhan marginal ini didorong terutamanya oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menokok 0.3 peratus, khususnya produk kimia.

Jelas Mohd Uzir, pada masa yang sama, sektor pertanian menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, berkembang 7.4 peratus dengan nilai ditambah RM2.9 bilion.

Ujar beliau, pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit.

"Selain itu, subsektor perikanan turut melonjak 21.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (11.5 peratus).

"Sementara itu, sektor pembinaan di Terengganu mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus pada tahun 2023, mencapai nilai ditambah sebanyak RM1.2 bilion.

"Pertumbuhan sektor ini didorong secara signifikan oleh subsektor Kejuruteraan awam yang meningkat 25.3 peratus.

"Begitu juga sektor perlombongan & pengkuarian di Terengganu yang merekodkan pertumbuhan 5.3 peratus pada tahun 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM207.7 juta," katanya.

Tambah beliau, prestasi KDNK per kapita, Terengganu mencatatkan KDNK per kapita pada tahun 2023 sebanyak RM31,111.

Post a Comment

0 Comments