PRK Sg. Bakap: PN lakukan pecutan gerak kerja kempen saat akhir

KUALA TERENGGANU : Perikatan Nasional (PN) kini melakukan pecutan gerak kerja kempen pada saat akhir untuk melakar kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Sabtu ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, gerak kerja yang dilakukan jentera PN bertambah baik berbanding beberapa siri PRK lain sebelum ini.

Malah, katanya, kerjasama semua jentera dalam PN juga semakin baik dalam membantu kemenangan calon PN.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pas yakin untuk melakar kemenangan berdasarkan maklum balas pimpinan parti dan kumpulan penyelidik yang berada di lapangan DUN Sungai Bakap ketika ini.

“Setakat ini, momentum semakin baik ke arah kemenangan (calon PN – Abidin Ismail).

“PRK adalah seumpama permainan bola sepak, bola itu bulat. Gol terbuka untuk kedua belah pihak, tapi dalam situasi sekarang, dengan pelbagai isu di peringkat nasional dan peringkat tempatan, saya percaya insyaAllah, rasa sangat positif untuk mencapai kemenangan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai ini.

“Jentera PN kita rasa telah ‘improve’ berbanding jentera yang kita ada dalam PRK yang lain sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘One Off’ Tahun 2023 kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Sebanyak RM194,400 diagihkan kepada 324 imam ketiga masjid mukim yang dibayar untuk tahun 2023.

 

Post a Comment

0 Comments