Tuduhan masalah integriti hanya tuduhan politik - MB Terengganu


 Besut: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan tuduhan pentadbirannya berdepan masalah integriti dan tatakelola kewangan tidak cekap.

Ahmad Samsuri berkata, tuduhan itu bukan sahaja pandangan yang tidak berasas, malah bersifat politik semata-mata.

"Pandangan itu tidak berasas, semuanya adalah sebab politik.

"Saya selalu tekankan di awal penggal 2018 lagi jika kita bergerak mengemudi kerajaan, tidak kira kerajaan negeri atau Persekutuan tetapi menjadikan asas politik nombor satu, akhirnya yang jadi mangsa adalah mereka (yang) tidak berparti dan juga rakyat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan hingga didakwa menjadi punca royalti tidak diberikan kepada negeri itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri merasmikan Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan Negeri Terengganu dan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur Tahun 2024 di Dataran Jabi di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pengiktirafan Terengganu sebagai negeri paling telus dalam pengurusan belanjawan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuktikan komitmen negeri dalam menjaga harta rakyat.

Katanya, penilaian melalui sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang digunakan adalah berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa dan ia boleh dinaik taraf pada masa akan datang.

"MyOBI adalah komitmen bagi pihak kerajaan negeri untuk memastikan bahawa projek yang dibentangkan dan dibelanjakan kepada rakyat itu 'transparent' (telus) dan penuh integriti.

"Jentera pentadbiran kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu sentiasa memastikan sistem kewangan serta sistem akses dilakukan secara telus," katanya.

Berdasarkan rekod, Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan.

Menurut kajian badan bebas IDEAS, pengiktirafan terhadap kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem MyOBI 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.

Post a Comment

0 Comments