MARANG: Sejumlah RM2 bilion dilaburkan Cypark Resources Berhad (CRB) dalam membangunkan loji tenaga solar di negara ini, yang mampu menjana 404 megawatt (MW) tenaga boleh baharu.
Pengerusi Eksekutif Cypark Resources Berhad, Datuk Hamidah Moris, berkata CRB berpengalaman selama 25 tahun dalam industri solar di negara ini.
Beliau berkata, Cypark mempelopori industri solar Malaysia dengan 24 MW loji tenaga solar generasi pertama bermula pada tahun 2012 di bekas tapak pelupusan sampah.
Katanya, Cypark bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bank-bank Malaysia untuk merancang infrastruktur tenaga dan pembiayaan yang sesuai untuk mengurus sumber tenaga boleh baharu yang dijana daripada tenaga matahari.
"Cypark mempelopori industri Waste-to-Energy (WTE) pada tahun 2015 dengan merancang, melaksanakan, dan menjalankan pengumpulan sisa dengan bayaran tip, penjanaan tenaga daripada sisa untuk TNB.
"Cypark adalah satu-satunya pengendali loji WTE di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Cypark Solar Merchang, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hamidah berkata, RM2 bilion portfolio infrastruktur penjanaan tenaga dilaburkan dan kini mampu menjana 404 MW penjanaan tenaga boleh baharu.
Katanya, lebih 130 projek EPCC sudah dilaksana, manakala loji WTE menggunakan 1,000 metrik tan (MT) sisa pepejal perbandaran dan mampu menjana 20 MW tenaga boleh baharu.
"Penggunaan inovasi tenaga boleh baharu ini menunjukkan CRB komitmen kepada penyahkarbon.
"Cypark adalah inovator dalam industri tenaga hijau di Malaysia serta merupakan syarikat Malaysia pertama dan satu-satunya yang merancang, membina dan menjalankan gabungan loji tenaga solar, WTE serta loji pengeluaran tenaga bio-gas dan bio-mass.
"Loji Merchang Cypark adalah loji janakuasa solar hibrid terbesar di Malaysia serta terdiri daripada 35 MW solar terapung dan 65 MW solar dipasang di darat," katanya.
Menurutnya, loji janakuasa solar hibrid ini merupakan bukti kemampuan Cypark untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi Terengganu yang terdedah kepada banjir.
Katanya, loji Danau Tok Uban (DTU) Cypark yang dijadualkan beroperasi pada suku ketiga tahun ini akan menjadi loji solar terapung terbesar di Malaysia dengan kapasiti terapung 60 MW.
Beliau berkata, Cypark dalam kumpulan perintis yang mencipta hubungan simbiotik dengan kilang minyak sawit untuk mengambil bio-mass bagi menjana tenaga melalui loji bio gas yang bersambung.
"Dari segi pencapaian antara tahun 2013 hingga tahun lalu iaitu Cypark mampu menjana sejumlah 692,191 MW tenaga boleh baharu.
"Manakala 447,612 tan pengelakan karbon dioksida, 85,0244 tan pengelakan arang batu, manakala 1,000 ekar tapak pelupusan dipulihara untuk penjanaan tenaga bersih," katanya.
Menurutnya, struktur Cypark merangkumi 212 pekerja, 36 peratus jurutera dan 53.35 peratus ekuitinya dimiliki Bumiputera serta Jakel Capital sebagai pemegang saham terbesar dengan lebih 20 peratus pegangan saham PERKESO adalah pelabur institusi terbesar.
0 Comments