Terengganu iltizam tingkat kapasiti tenaga boleh baharu


 KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, TDM-YT Plantation Sdn Bhd dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan projek ladang solar di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis itu bukan sahaja mencerminkan usaha gigih kerajaan negeri dalam memajukan sektor tenaga boleh baharu, tetapi juga menegaskan azam untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang mampan dan mesra alam.

“Ini merupakan komitmen dan iltizam kita dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu di negeri Terengganu.

“Malah, dengan adanya kerjasama strategik antara TDM-YT Plantation dan JAKS Solar Power Holdings, kita yakin bahawa penyertaan projek Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) akan menjadi satu langkah penting dan pemangkin kepada usaha kita untuk mencapai matlamat pembangunan lestari, melalui penggunaan tenaga boleh baharu berasaskan tenaga suria,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis MoU antara TDM-YT Plantation Sdn. Bhd. dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd. di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Turut hadir menandatangani MoU ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan disaksikan oleh Pengarah TDM-YT Plantation, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

“Tahniah saya ucapkan atas langkah proaktif yang diambil oleh salah sebuah anak syarikat di bawah TDM Berhad iaitu TDM-YT Plantation dengan menjalin kerjasama strategik bersama JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Samsuri berkata, projek itu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat perniagaan tenaga baharu (RE) dengan menggunakan sebahagian daripada 2,600 hektar tanah di Ladang Bukit Bidong untuk pemasangan panel solar.

“Saya difahamkan, tapak projek dengan keluasan 700 ekar daripada 2,600 hektar Ladang Bukit Bidong yang dimiliki oleh TDM-YT Plantation ini merupakan kawasan kurang produktif bagi tanaman sawit yang mana turut dikenal pasti sangat sesuai untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, iaitu solar.

“Saya percaya pembangunan tenaga boleh baharu ini, akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja, dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, Terengganu akan sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu.

“Kami percaya, bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, kita mampu mencapai sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan.

“Asas ini adalah bertepatan dengan perancangan Kerajaan Negeri Terengganu dalam tenaga boleh baharu di mana potensi mini hidro power, inshore and offshore wind energy, ocean energy (menerusi tenaga janaan dari ombak), small scale biomass dan yang terkini ialah Floating Solar di Kenyir berkapasiti 400 Megawatt (MW) sebagai permulaan, dan fasaberikutnya sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita berharap kerjasama strategik antara TDM-YT Plantation Sdn Bhd dan JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd ini mampu mencapai matlamat kelestarian dan pembangunan ekonomi yang mampan di Negeri Terengganu, insya-Allah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments