MB Terengganu ucap tahniah buat pelajar cemerlang STPM


 KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau berkata, negeri Terengganu bukan hanya terkenal dengan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi juga dalam STPM.

“Tahniah kepada seluruh anak Terengganu yang telah cemerlang dalam pendidikan.

“Dunia selepas ini akan terbuka lebih besar kepada mereka, bagaimana mereka ingin harungi kehidupan dunia ini, saya percaya anak-anak Terengganu boleh cemerlang lagi bila mereka masuk alam universiti nanti insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Hari ini, Terengganu dilaporkan mengekalkan pencapaian keputusan STPM terbaik kebangsaan untuk tempoh lima tahun berturut-turut apabila memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3.11 bagi peperiksaan 2023 yang diumum.

Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Che Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.11 tersebut mengatasi peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.

Post a Comment

0 Comments